Monday, December 26, 2011

Bahasa Melayu - Kata Ganti Nama Diri

Assalamulaikum dan Selamat sejahtera.
 Cuti semakin berakhir. Tidak lama lagi cikgu akan berjumpa kamu disekolah. Oleh itu sebagai ulangkaji cikgu mahu kamu buat latihan Bahasa Melayu secara online. Jawab soalan tersebut dan beritahu saya di Bertanya Guru berapa yang kamu betul. 



Terdapat 15 soalan yang perlu kamu jawabkan. Berapa peratus yang kamu dapat jawab?


Selamat menjawab.


Tuesday, December 13, 2011

Gaya Hidup Sehat

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera....


Apa khabar murid-murid. Cikgu harap murid-murid sihat. Bagaimana kita dapat memastikan gaya hidup kita adalah gaya hidup yang sehat. Tonton video di bawah dan komen di Bertanya guru. Selamat menonton.



Video Si cak dan Si pot

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini cikgu nak kamu menonton Video Si cak dan Si pot. Selepas kamu tengok video ini bagi maklumbalas kamu atau pendapat kamu di ruangan Bertanya Cikgu. Selamat menonton.





Sekian terima kasih kerana mononton. Jangan lupa memberi komen di Bertanya Guru.

Latihan Melengkapkan Ayat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera murid-murid. Apa khabar. Cuti semakin hampir ke penghujungnya. Kerja rumah yang diberi oleh cikgu-cikgu dah siap. Alhamdulillah dan bagus. Kalau kamu tidak tahu membuatnya boleh bertanya saya, ibu bapa ,kakak atau abang. Ingat tak cikgu cakap dulu " malu bertanya tak dapat siap ". 


Oklah dah lama cikgu tak bagi latihankan. Hari ini latihan kamu ialah Melengkapkan karangan pendek berdasarkan gambar. Dibawah ini ada cikgu lampirkan 2 helaian soalan. Cikgu nak kamu copy seperti biasa dan hantar melalui email kepada saya. Kalau tidak boleh seperti biasa juga simpan di dalam folder nanti buka sekolah cikgu copy folder kamu kedalam komputer cikgu. 


" Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih "







Sekian untuk hari ini. Jumpa lagi.

Saturday, December 10, 2011

Mengenal Bentuk


Assalamualaikum . Apa khabar. Jom kita lihat video bentuk. Walaupun dalam bahasa inggeris apa salahnya kita lihat dan dengarkan. Tak apa kalau tak faham boleh tanya cikgu. Selamat menonton.



Dah selesai, seronok tak.  Bagus tentu kamu dah faham apa itu bentuk. Dan dalam kelas kita pun ada pelbagai barang yang sama dengan bentuk-bentuk tadi. Cikgu mahu kamu tulis persamaan bentuk dengan alatan dalam kelas Contoh : segi empat tepat =  meja tulis. Siapkan dan emailkan pada cikgu. Terima kasih dan jumpa lagi.

Friday, December 9, 2011

Kotak Misteri

                                                        Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
                                Hari ini cikgu mahu kamu menonton cerita ini. Selamat menonton.


Bagaimana murid-murid. Sudah menonton video di atas. Apakah bentuk yang kamu lihat di dalam video tersebut. Jawab di petak Bertanya guru? Selamat Menjawab.

Thursday, December 8, 2011

Latihan Tatabahasa

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Apa khabar murid-murid. Hari ini cikgu mahu kamu menjawab soalan tatabahasa online.

Pergi ke laman berikut :http://www.skmethodist.edu.my/portal/interaktif/bm/bm2004/1/s21_34.htm

Tuesday, December 6, 2011




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.


Apa Khabar? Bagus semuanya sihat-sihat lagi ye.  Baiklah murid-murid hari ini cikgu tayangkan satu video yang bertajuk Kad Imbasan. Cikgu nak kamu lihat dan kemudian tulis semula ayat-ayat di dalam video dalam Word kemudian hantar ke email cikgu.


Selamat menonton.




Sunday, December 4, 2011

Mengenal Ahli Keluarga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Apa khabar anak-anak murid cikgu hari ini. Sihat semuanya. Alhamdulillah. Walaupun kita bercuti sekarang pelajaran jangan dilupa. Main-main jugakan. Pelajaran kena tengok juga. Ok tak mahu buang masa cuba murid-murid lihat gambar di bawah.





Apa yang dapat kamu ceritakan pada cikgu. Bagus ini adalah gambar sebuah keluarga yang terdiri dari ayah, ibu, abang, kakak dan 2 adik kecil. Cikgu pasti kamu juga mempunyai keluarga bukan? Dalam keluarga kita tentu ada ahli-ahlinya. Mungkin dalam keluarga kamu terdapat juga nenek dan atuk.


Jika kamu sudah faham siapkan lembaran kerja berikut.




Setelah siap hantar ke email cikgu. Terima kasih dan jumpa lagi di alam maya.

Saturday, December 3, 2011

Mengenal Diri Sendiri


 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Apa khabar murid-murid. Hari ini kita akan berkenalan dengan gambar disebelah.

Cikgu : Boleh kamu perkenalkan diri kamu kepada kawan-kawan kamu.

Upin : Kawan-kawan Nama saya Upin , umur saya 6 tahun. Saya seorang    
            budak lelaki.
Ipin  : Kawan-kawan Nama saya pula Ipin, umur saya juga 6 tahun. Saya
           juga seorang budak lelaki.

Baiklah kawan-kawan kamu di atas telah memperkenalkan diri mereka. Sekarang cikgu mahu kamu perkenalkan diri kamu dalam latihan di bawah.







Siapkan Latihan di atas dan emailkan kepada saya.

Terima kasih. Sekian untuk hari ini. Kita jumpa lagi esok

Mengenal Anggota Badan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

      Hari ini saya akan memberi penerangan mengenai tajuk matapelajaran kita iaitu Komponen Sains, Sosial dan Alam Sekitar.  Dalam matapelajaran ini kamu akan belajar   mengenal dan menamakan benda hidup dan bukan hidup yang terdapat di sekitar kamu, Kamu juga akan dapat  menamakan  jenis alat perhubungan dan pengangkutan yang terdapat disekitar kamu. Selain itu juga kamu juga dapat menunjukkan perlakuan bersopan santun semasa berinteraksi dengan ahli keluarga kamu dan juga  masyarakat di sekeliling kamu.
     Cikgu juga akan mengajar kamu menggunakan alat perhubungan dan pengangkutan dengan cara yang betul. Selain itu kamu akan mengamalkan sikap dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian bagi menjadi rakyat yang baik dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Baiklah murid-murid bagi tajuk pertama hari ini cuba kamu lihat diri kamu sekarang. Cuba sebutkan nama-nama anggota tubuh badan kamu. Cikgu yakin kamu dapat mengenal anggota tubuh badan kamu.

Cuba lihat pada gambar di atas. Ini adalah rupa tubuh badan kamu. Bahagian-bahagiannya ialah mata , mulut , telinga , kaki , tangan , badan , rambut , hidung dan lain-lain lagi.



Sekarang adakah kamu kenal bahagian-bahagian tubuh badan kamu. Baiklah untuk menguji kefahaman kamu buat latihan di bawah.




Siapkan latihan kamu dan hantar melalui email kepada saya di idah100572@yahoo.com.my  




Saturday, October 29, 2011

Pengurusan Matapelajaran: Bidang Nilai Dan Kerohanian

Bidang Nilai dan Kerohanian merangkum dua bidang iaitu :
a) Bidang Pendidikan Agama Islam khusus untuk pelajar yang beragama Islam
b) Bidang Pendidikan Moral khusus untuk yang bukan beragama Islam

Bidang Pendidikan Agama Islam


Bidang ini lebih menumpukan perhatian kepada beberapa aspek perkembangan. Dalam aspek perkembangan akhlak dan sosial - disediakan tajuk-tajuk untuk pembentukan budi pekerti dan latihan peribadatan. Terbahagi kepada beberapa skop iaitu :

1. Asuhan Tilawah Al-Quran
2. Asas Ulum Syari`ah
    - Akidah
    - Ibadah
    - Sirah
3. Asas Akhlak Islamiah

Bidang Pendidikan Moral.


Bidang pendidikan moral memberi peluang kepada pelajar menyedari dan mengamalkan nilai-nilai murni dan bermoral. Pendidikan Moral bagi pelajar Bermasalah Pembelajaran mengandungi 11 nilai berdasarkan fahaman agama, tradisi dan norma masyarakat manusia yang berbilang kaum serta norma kemanusiaan sejagat yang sesuai dengan prinsip Rukunegara. Di antara perkara yang terkandung didalamnya ialah :

1. Sikap bersih daripada segi fizikal dan mental
2. Sikap belas kasihan
3. Sikap sederhana
4. Sikap rajin
5. Sikap berterima kasih
6. Sikap jujur
7. Sikap adil
8. Sikap kasih sayang
9. Sikap hormat menghormati
10. Sikap bermasyarakat
11. Menjaga maruah diri (Batasan pergaulan)

Thursday, October 27, 2011

Pengurusan Matapelajaran : Bidang Sosial dan Alam Sekeliling

Bidang sosial dan alam sekeliling melibatkan unsur-unsur hubungan manusia dengan manusia(Kekeluargaan/persahabatan),manusia dengan alam semulajadi dan hubungan dengan orang lain yang meliputi jenis-jenis dan kegunaan perhubungan, makanan, perkhidmatan, masyarakat,tokoh dan tempat-tempat sejarah.

Tujuan bidang ini dimasukkan ke dalam kurikulum pelajar pendidikan khas bermasalah pembelajaran ialah untuk memberi pengetahuan,kefahaman dan penghargaan terhadap aspek-aspek ini agar mereka boleh dibantu bagi memperkembangkan ilmu dan menggunakannya dalam situasi harian.Di antara skop yang terkandung dalam bidang ini ialah:

1.Hubungan manusia dengan alam semulajadi.
     -Konsep asas

      * benda-benda disekeliling kita
      * benda-benda hidup
      * benda-benda bukan hidup

     -Keperluan asas hidup
  • pada manusia 
  • pada haiwan 
  • pada tumbuh-tumbuhan
      -Cara dan kepentingan proses hidup
  • makanan 
  • pembiakan 
  • berkumuh 
  • bernafas 
  • bergerak 
  • bergerakbalas 
     -Kepentingan haiwan kepada manusia
  • sumber makanan 
  • pakaian 
  • bahan membuat berbagai alatan 
  • bantuan dalam pekerjaan 
  • perhubungan dan pengangkutan 
2.Hubungan Individu dengan orang lain
     -Penyesuaian diri dengan guru,rakan sebaya,keluarga,jiran dan masyarakat.
     -Penjagaan alam semulajadi
     -Pemuliharaan alam semulajadi

3.Jenis makanan
     -Keperluan makanan
     -Amalan pemakanan

4.Perhubungan
     -Jenis,sifat,kegunaan alat pengangkutan dan perhubungan

5.Perkhidmatan masyarakat
     -Perkhidmatan awam-polis,Pejabat Pos,bomba,hospital,sekolah
     -perkhidmatan swasta-telekom,Bank,TNB

6.Mengenal tokoh-tokoh
     -tempatan,negeri,negara,antarabangsa

7.Mengenal tempat-tempat bersejarah
     -di kawasan sekolah,di tempat kelahiran pelajar,di tanah air,bukti sejarah dan menyambut
      hari kemerdekaan.

8.Tatasusila/Adab.
     -sifat menghormati,pergaulan,tingkah-laku di waktu tertentu contoh di sekolah dll.

9.Keselamatan diri.
     -di sekolah,di rumah,tempat yang membahayakan dan tempat untuk mendapatkan  
      perlindungan/bantuan.

10.Kekeluargaan.
    -menjaga hubungan di antara ahli keluarga
    -mengenal ahli keluarga mengikut jantina dan pangkat
    -peranan setiap ahli keluarga
    -cara pengaulan lelaki dan perempuan
    -perubahan fizikal diri
    -menjaga kehormatan diri.

Wednesday, October 26, 2011

Disleksia

Apa itu Disleksia.
- Perkataan Yunani bererti "Kesukaran terhadap perkataan"
- Kesukaran pembelajaran yang spesifik-berbeza daripada kelewatan perkembangan menyeluruh
- Susah menguasai kemahiran membaca dan menulis TETAPI memiliki bakat, kepintaran atau kecerdasan
   yang lain.
- Disebabkan oleh perbezaan dalam cara otak memproses maklumat - terutama sekali berkenaan dengan
   bunyi, simbol dan makna.
- Kita tidak dapat ' merawat' disleksia - kita tidak boleh ubah cara otak berfungsi

TETAPI Kaedah Pengajaran Yang Sesuai Boleh Membantu

- Kebanyakan murid-murid disleksia boleh belajar membaca dan menulis dengan memuaskan.

Mengecam Disleksia


* Dapat dikenalpasti melalui pelbagai jenis ujian diagnostik piawai
* Boleh dicam melalui pemerhatian yang teliti dan interaksi dengan kanak-kanak.

   Catatan penting - tidak kelihatan dari sifat fizikal
                           - satu petunjuk tidak mencukupi
                           - petunjuk adalah tanda, bukannya bukti
                           - pemeriksaan medikal perlu untuk kenalpasti tidak ada masalah kurang upaya lain

Petanda Bagi Murid Pra-Sekolah


#  kemajuan pertuturan yang lambat
#  susah faham dan/atau ingat arahan
#  lemah kemahiran gerakan kasar contoh sentiasa melanggar barang sekitar, sukar membaling atau
    menangkap bola.
#  lemah kemahiran gerakan halus contoh memegang alatulis atau menggunting
#  tiada tangan dominan
#  sukar mengesan perkatann berima
#  sukar bertepuk mengikut irama
#  sering lupa perkataan yang telah dipelajari
#  kesukaran dengan preposisi contoh:  atas/bawah, dalam/luar, masuk/keluar

Saturday, October 22, 2011

Pengurusan Matapelajaran : Kemahiran Hidup

Pendahuluan
Bidang Kemahiran Hidup merupakan salah satu komponen dalam Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran.

Matlamat
Kurikulum ini dirangka bagi memenuhi matlamat dan keperluan pendidikan khas bermasalah pembelajara khususnya di Malaysia ini. Antara matlamatnya ialah ;
            
                "Bidang Kemahiran Hidup dirangka untuk latihan dan kemahiran perkembangan peribadi,sosial,hidup berkeluarga, penjagaan diri, pengurusan rumahtangga dan pravokasionalbagi pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran"

Kurikulum dan pembelajaran dalam bidang ini bertujuan melatih murid supaya dapat membolehkan mereka berdikari, disamping itu penekanan pada pravokasional dan kemahiran amali seharian juga adalah dirancang untuk membantu mereka ke arah menjalankan aktiviti seharian dengan lebih berkeyakinan selaras dengan Falsafah Pendidikan kebangsaan.

Keperluan Bidang Kemahiran Hidup
Berdikari - Konsep berdikari adalah aspek yang penting dan ditekankan bagi pelajar bekeperluan khas. Sifat berdikari dinyatakan secara eksplisit dalam FPK iaitu :

     " Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan,beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara "

Berdasarkan falsafah ini, telah menjadi hasrat Pendidikan Khas untuk memastikan pelajar bekeperluan khas dapat dibekalkan dengan pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan berusaha supaya mereka tidak sentiasa bergantung kepada orang lain.

Topik-topik dan kemahiran 
Sekolah Rendah  - 
  1. Kesihatan dan Kebersihan
  2. Pengurusan Bilik Darjah
  3. Pengurusan Rumahtangga
  4. Beli belah
  5. Tatasusila / Adab
  6. Keselamatan diri
  7. Pravokasional
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran

1. Lisan dan teori - kaedah yang biasa diguna dan ianya sesuai untuk permulaan sesuatu kemahiran.

2. Amali dan Praktikal - Bidang ini memerlukan penumpuan terhadap kaedah amali dan praktikal. Ini adalah untuk menarik minat murid untuk mengikuti kemahiran yang diajar. Disamping itu ianya memudahkan pemahaman murid berbanding teori.

Penutup

Bidang kemahiran hidup ini memerlukan seorang guru yang kreatif dan sentiasa peka dengan apa saja situasi yang akan berlaku.Semangat dan dedikasi guru dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran amatlah diharapkan.





Sebahagian gambar semasa Aktiviti Ikhtiar Hidup PPKI SMK Sg Besar.

Monday, October 17, 2011

Cara Menulis Laporan Kajian Tindakan

Penghasilan Laporan Kajian Tindakanhttp://syaifulkarim.blogspot.com

1. Tajuk

Tajuk memainkan peranan penting dalam menghasilkan satu kajian tindakan. Tajuk yang dicadangkan harusah berkaitan dengan aspek-aspek yang boleh diselidiki serta diambil tindakan pada akhirnya. Disamping itu, tajuk bagi sesebuah kajian tindakan adalah lebih baik disertakan dengan kaedah yang akan digunakan untuk menyelesaikan masalah yang ingin dikaji. Tajuk juga haruslah jelas dan tidak terlalu panjang iaitu kurang daripada 15 patah perkataan.
Berdasarkan kajian tindakan yang dikaji oleh penulis, penulis mendapati tajuk bagi kajian tindakan ini mudah difahami dan ringkas tetapi terlalu umum iaitu “Meningkatkan Kemahiran Membaca Huruf Hijaiyyah Berbaris Atas Menggunakan Kompang / Tamborin” Pembaca tahu apa yang ingin dikaji, walaubagaimanapun tajuk ini umum kerana tidak dinyatakan sarasan kajian. Pembaca akan tertanya-tanya siapakah yang akan dikaji. Ini menjadikan tajuk kajian kurang jelas serta menimbulkan keraguan kepada pembaca tentang siapakah yang ingin dikaji sama ada kanak-kanak, remaja atau dewasa.
Selain itu, tajuk kajian ini menyatakan kaedah penyelesaian yang ingin digunakan iaitu dengan menggunakan kompang/tamborin untuk meningkatkan kemahiran membaca huruf hijaiyyah berbaris atas. Dari segi jumlah patah perkataan yang digunakan adalah bersesuaian iaitu sebanyak 10 patah perkataan. Secara keseluruhannya, penulis berpendapat tajuk kajian tindakan ini adalah kurang memfokuskan kepada sasaran kajian secara spesifik dan kurang bersesuian untuk memberi gambaran kepada pembaca tentang kajian tindakan yang ingin dilaksanakan.
Dalam kajian tindakan ini juga disertakan nama pengkaji iaitu Mohd Mahyuddin Mohd Yusof. Ini adalah baik bagi sesebuah kajian tindakan kerana ia dijalankan secara kolaboratif. Kaedah kolaboratif perlu bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian kerana pengkaji akan berusaha untuk mencapai tujuan kajian.



2. Abstrak

Daripada kajian tindakan yang dikaji, penulis mendapati bahagian abstraknya menyatakan masalah yang ingin dikaji iaitu guru Pendidikan Islam mempunyai masalah dalam menyampaikan atau mengajar murid membaca huruf hijaiyyah berbaris atas.
Dari segi populasi dan sampel kajian pula, ia jelas dinyatakan dalam
bahagian abstrak. Di mana populasi kajian ialah pelajar-pelajar Pendidikan Khas dan hanya empat orang murid terbaik daripada 11 orang murid Pendidikan Khas, walaubagaimanapun pengkaji tidak menyatakan sekolah murid Pendidikan Khas tersebut dalam bahagian abstrak.
Bahagian abstrak juga jelas menunjukkan jenis instrumen yang digunakan dalam kajian ini, iaitu dengan menganalisa berpandukan sesi pengajaran & pembelajaran sejak tahun 2005 serta temubual dengan ibu bapa dan murid.
Kaedah menjalankan kajian ini juga didapati pengkaji menyatakan kaedah yang digunakan dalam membantu meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran membaca huruf-huruf hijaiyyah berbaris atas iaitu dengan menggunakan kompang/tamborin.
Oleh itu, penulis berpendapat bahagian abstrak kajian tindakan ini adalah jelas menunjukkan setiap aspek-aspek penting yang dikaji dalam kajian tersebut. Walaupun sasaran kajian kurang jelas, setelah membaca keseluruhan abstrak, pembaca dapat mengenal pasti sasaran kajian yang ingin dilaksanakan iaitu murid Pendidikan Khas Bermasalah pembelajaran Sekolah Kebangsaan Dato’ Yahya Subban, 36600 Chenderong, Balai Perak Darul Ridzuan.


3. Pengenalan

Kajian Tindakan ini tidak mempunyai pengenalan dan ianya dimulakan dengan penghargaan sahaja. Bagi pendapat penulis, laporan kajian tindakan yang baik perlulah mempunyai pengenalan sebelum memulakan sub-sub topik yang lain.
Penulis berpendapat, dalam pengenalan sesebuah kajian tindakan seharusnya mengemukakan beberapa dapatan kajian lepas tentang masalah yang hampir serupa dengan masalah yang ingin dikaji. Ini perlu supaya apabila pembaca membaca laporan kajian tindakan tersebut, pembaca dapat melihat kajian berkenaan dalam perpsektif yang lebih luas dan dapat gambaran awal secara menyeluruh tentang perkara yang dikaji oleh pengkaji.
Sebaliknya pengkaji terus memberi pendapatnya sendiri berdasarkan pemerhatian yang dilakukan melalui sup topik 1.0 Refleksi Pengajaran & Pembelajaran Yang Lalu dan di bahagian 2.0 Isu Keperihatinan/Fokus Kajian. Dalam bahagian 1.0 ini, pengkaji mengutarakan faktor-faktor yang menyebabkan murid Pendidikan Khas tidak pandai membaca tulisan jawi manakala di bahagian 2.0 pengkaji hanya mengutarakan pendapatnya sahaja.


4. Metologi Kajian

Bahagian metologi kajian ini menjelaskan beberapa perkara iaitu sampel kajian, instrumen kajian dan prosuder kajian.
Dari segi persampelan, ianya dijelaskan di mana sampel terdiri daripada empat orang murid pendidikan khas. Umur responden tidak dinyatakan tetapi tempoh kajian dilaksanakan dinyatakan iaitu selama dua bulan. Dari segi pembentukan kajian pula, responden dipecahkan kepada empat sampel mengikut masalah pembelajaran yang dialami iaitu Sampel A: Cerebral Palsy (Diolegia), Sampel B: Slow learner (lembam), Sampel C: Attention Deficit Hiperaktif Disorder (ADHD) dan Sampel D: Down Syndrome (Lambat bertutur). Oleh itu, boleh dikatakan bahawa bahagian persampelan dalam metalogi kajian tindakan ini diberikan secara terperinci dan bersesuaian untuk mengkaji masalah kemahiran membaca huruf hijaiyyah berbaris atas yang dialami oleh murid Sekolah Kebangsaan Dato’ Yahya Subban yang datang dari masalah pembelajaran berbeza.
Dari segi instrumen kajian pula, kajian ini ada menjelaskan jenis instrumen yang digunakan oleh pengkaji. Instrumen yang digunakan melalui tiga kaedah iaitu pemerhatian, perbualan dengan ibu bapa serta murid, dan ujian terhadap murid. Melalui instrumen yang digunakan, ianya telah dinyatakan dengan terperinci kerelevanan serta kesesuaian instrumen yang digunakan untuk mendapat maklumat mengenai masalah yang dikaji. Disamping itu, penulis juga turut mencadangkan supaya satu kajian tindakan seterusnya berkaitan masalah yang dihadapi bagi memantabkan lagi hasil kajian yang telah dilakukan itu. Cadangan kajian seterusnya itu ialah “Sistem Ganjaran Meningkatkan Kualiti Disiplin Murid Pendidikan Khas”.
Dari segi reka bentuk kajian serta prosuder pula, kajian tindakan ini penerangan terperinci tentang rekabentuk kajian serta prosuder yang mereka (pengkaji) laksanakan dalam kajian tindakan ini. Dalam prosuder kajian ini, ianya dinyatakan bilangan responden berasaskan jenis masalah pembelajaran yang dihadapi dengan memilih empat orang murid yang memperolehi markah tertinggi dalam ujian sebelum kajian dijalankan. Ianya juga, dinyatakan dalam bentuk jadual melalui keputusan ujian sebelum dan selepas penggunaan kompang/tamborin. Pada pandangan penulis, bahagian prosuder dalam metologi kajian ini adalah lengkap di mana pengkaji menerangkan dengan terperinci langkah-langkah yang dilakukan dalam menjalankan kajian tindakan seperti menentukan fokus, pengumpulan maklumat, perancangan tindakan, menjalankan tindakan serta langkah-langkah membuat refleksi/penilaian tentang tindakan yang dilakukan.
Oleh yang demikian, penulis berpendapat penerangan bahagian metalogi dalam laporan kajian ini adalah lengkap. Bahagaian ini sangat penting kerana ianya membantu pembaca untuk memahami tentang cara persampelan kajian dilakukan, teknik pengumpulan data kajian dilakukan serta langkah-langkah kajian dilaksanakan. Hal ini sekaligus dapat membantu meningkatkan kesahan terhadap kajian tindakan yang dijalankan dengan keputusannya diyakini dan boleh dipercayai.



5. Keputusan Kajian

Dapatan kajian dalam kajian tindakan ini yang dikaji oleh penulis memberi penerangan yang jelas dan teperinci tentang perkara yang dikaji. Hasil dapatan kajian disusun dalam bentuk jadual mengikut pembahagian tertentu iaitu masalah kurang kemahiran membaca huruf hijayyah berbaris atas disebabkan masalah kecerdasan mental, ianya diakui oleh ibu bapa melalui temubual yang dijalankan semasa kajian dijalankan. Penjadualan semua hasil dapatan kajian memudahkan analisis dibuat.
Selain itu, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa masalah utama yang dihadapi oleh murid-murid Pendidikan Khas ialah masalah murid sukar memahami konsep, mudah lupa, tumpuan perhatian yang singkat, kurang berminat dan sering mengalami masalah gangguan emosi. Ini terbukti melalui temubual dengan murid berkenaan serta melalui ujian yang dijalankan. Perbandingan dilakukan sebelum dan selepas ujian dijalankan terhadap sampel iaitu murid berkenaan. Selain itu, untuk mengenalpasti masalah utama dengan lebih terperinci kajian diteruskan dengan menguji masalah tersebut kepada murid berasaskan jenis masalah pembelajaran iaitu Cerebral Palsy (Diolegia), Slow learner (lembam), Attention Deficit Hiperaktif Disorder (ADHD) dan Down Syndrome (Lambat bertutur).
Dapatan kajian ini juga menunjukkan objektif kajian tercapai dan berjaya menjawab semua persoalan kajian. Sebagai contoh, objektif amnya ialah untuk membantu meningkatkan murid berkeperluan khas (pendidikan khas) membaca huruf hijaiyyah berbaris atas menggunakan kompang/tamborin dan persoalan kajian yang ingin dijawab ialah apakah penggunaan kompang/tamborin dapat membantu murid pendidikan khas membaca huruf hujaiyyah berbaris atas dengan cepat. Tinjauan daripada dapatan kajian ini jelas menunjukkan masalah utama yang dihadapi oleh murid Pendidikan Khas dapat diatasi dengan menggunakan kaedah tersebut.
Bagi mencapai objektif terakhir pula iaitu meningkatkan semangat berlumba-lumba dalam kalangan murid untuk menghasilkan kualiti pembacaan Al-Quran yang baik, persoalan yang cuba diselidiki ialah bagaimanakah ingin membantu murid Pendidikan Khas untuk membaca Al-Quran dengan lebih baik. Dari segi dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan kompang/tamborin dapat membantu mengatasi masalah kurangnya kualiti pembacaan Al-Quran dikalangan murid Pendidikan Khas.
Segala dapatan kajian ditunjukkan dengan jelas dalam bentuk jadual serta berjaya menjawab persoalan kajian. Penulis mencadangkan agar pengkaji turut memberi pandangan atau pendapat mereka berkaitan masalah penguasaan murid Pendidikan Khas tentang setiap jenis masalah pembelajaran yang diperolehi daripada ke empat-empat sampel yang digunakan. Ini kerana penerangan konkrit terhadap setiap dapatan kajian yang dikaji akan membantu pembaca memahami dapatan kajian ini dengan lebih baik dan tidak mempersoalkan dapatan yang pengkaji perolehi.


6. Perbincangan

Tiada bahagian perbincangan dibincangkan oleh pengkaji secara terperinci dalam kajian tindakan ini, ianya menyebabkan pembaca sukar memahami secara keseluruhan mengenai kajian tindakan tersebut. Selain itu, kesimpulannya juga hanya membincangkan secara umum sahaja.
Penulis berpendapat, pengkaji perlulah membincangkan dengan jelas permasalahan kajian serta menyusunnya mengikut kronologi yang mudah difahami pembaca. Penulis juga berpendapat, dalam bahagian ini pengkaji seharusnya membincangkan secara keseluruhan mengenai perkara yang dikaji secara terperinci. Walaubagaimanapun, pengkaji ada memberikan saranan agar kajian selanjutnya perlu dilakukan dalam mengatasi masalah yang dikaji iaitu mencadangkan kajian bertajuk“”Sistem Ganjaran Meningkatkan Kualiti Disiplin Murid Pendidikan Khas”.


7. Rujukan

Di bahagian akhir kajian ini, rujukan yang digunakan turut disenaraikan. Sebanyak lapan bahan rujukan telah digunakan oleh pengkaji dan bagi pendapat penulis rujukan dalam kajian ini perlu ditambah lagi agar memperolehi keputusan yang lebih baik.
Hasil pengamatan penulis juga mendapati pengkaji mematuhi cara menulis bahan rujukan di mana bahan rujukan disusun mengikut abjad, walaubagaimanapun baris kedua bagi setiap bahan rujukan tidak dipatuhi dengan menganjakkan ke dalam sedikit berbanding baris pertama dengan kedua.
Dari segi bahan rujukan yang digunakan pula, penulis mendapati semua bahan rujukan yang disenaraikan oleh pengkaji kajian tindakan ini ada digunakan dalam kandungan kajian tindakan tersebut. Oleh itu, penulis berpendapat pengkaji telah mematuhi teknik penulisan kajian dan menyenaraikan semua bahan rujukan yang diguna pakai ketika membuat kajian tindakan ini.

Laporan Kajian Tindakan

Contoh Laporan Kajian Tindakan dari http://kajiantindakanpontian.blogspot.com




LAPORAN KAJIAN TINDAKAN
MATEMATIK

MENINGKATKAN PENGUASAAN PELAJAR DALAM PENDARABAN NOMBOR NEGATIF MENGGUNAKAN KAEDAH KAWAN-BAIK DAN TAK KAWAN-TAK BAIK

Oleh

Suhizulhisam Bin Keliwon
Ariff Anuar Bin Melan
Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Nanas,
Jalan Sawah,
81500 Pekan Nanas ,
Johor.

MAC 2007

ABSTRAK
Kajian Ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti serta kaedah untuk mengatasi masaalah yang dihadapi oleh pelajar Tingkatan 3 Biru dalam subtopik Pendaraban Nombor Negatif. Seramai 34 orang pelajar didalam kelas tersebut, namun kajian ini hanya ditumpukan kepada 15 orang pelajar sahaja kerana tahap kefahaman kelas ini amat lemah jika dibandingkan dengan kelas-kelas lain. Pemilihan pelajar ini adalah berdasarkan peperiksaan akhir tahun 2006, temubual, ujian pra serta buku latihan mereka. Hasil tinjauan mendapati pelajar mempunyai kesukaran untuk menyatakan hasil darab yang melibatkan nombor negatif, memberikan jawapan positif atau negatif. Perancangan tindakan adalah menggunakan kaedah padanan dan hasil daripada kehidupan seharian mereka. Murid akan didedahkan dengan kaedah “Kawan – Baik” dan “Tak Kawan – Tak Baik”. Teknik ini akan dijalankan selama 80 minit dan dijangkakan akan selesai dalam tempoh 8 minggu. Keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan pelajar dalam menyatakan tanda yang sebenar. Namun pelajar masih mempunyai kelemahan dalam mendarab.

1. REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Mata pelajaran Matematik adalah mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan di Malaysia. Semasa peperiksaan akhir tahun 2006, terdapat pelajar yang tidak dapat menguasaai konsep asas nombor negatif. Hampir keseluruhan pelajar dari Tingkatan 2 Biru gagal menyatakan tanda dengan tepat hasil dari daraban yang melibatkan nombor negatif.
Topik nombor negatif ini akan digunakan dalam topik lain semasa di tingkatan tiga seperti ungkapan algebra dan soalan PMR kertas 2, banyak berkaitan dengan nombor negatif . Apabila dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar sering tidak dapat menyatakan tanda yang tepat. Pelajar hanya meneka dan tidak dapat menyatakan mengapa tanda tersebut bertukar.
Pelajar memberi ulasan, bahawa penyelesaian melibatkan nombor negatif amat sukar dilaksanakan. Guru-guru juga memberikan respons yang serupa apabila mendapati pelajar amat sukar menyelesaikan masaalah melibatkan penggunaan nombor negatif. Pelajar sering melakukan kesilapan yang serupa setiap kali melibatkan soalan melibatkan penggunaan nombor negatif. Pelajar juga memberikan alasan amat sukar untuk mengingati rumus atau konsep yang penting dalam Matematik.
Topik ini dirasakan penting kerana pelajar akan menduduki peperiksaan PMR pada 2007 dan SPM 2009. Pentingnya mengaitkan keadaan persekitaran peajar itu sendiri dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar menghadapi kesukaran untuk mengingati formula, dengan itu mengaitkan sesuatu formula dengan persekitaran mereka adalah lebih mudah.

2. ISU KEPRIHATINAN
Sebenarnya banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar Tingkatan 3 Biru dalam mata pelajaran Matematik. Kajian ini hanya memfokuskan tentang masalah pelajar yang tidak dapat menguasai penggunaan nombor negatif dalam operasi darab. Kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar adalah :-
a) Kesilapan dalam menyatakan tanda yang betul.
b) Pelajar menggunakan padanan yang salah dalam operasi darab dan bahagi bagi nombor negatif.
Topik ini boleh dikatakan mudah jika pelajar dapat memahami konsep asas Matematik. Namun bagi pelajar ini, mereka lebih mudah untuk mengingati sesustu perkara yang berkaitan atau hampir dengan kehidupan seharian mereka. 
Saya yakin dengan mempelbagaikan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran, pelajar akan lebih berminat untuk belajar. Dengan menerapkan kaedah yang mudah untuk mereka ingati serta berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka, adalah lebih mudah untuk mereka belajar.Minat setiap kumpulan pelajar adalah berbeza. 
Dengan itu, amatlah diharapkan kajian ini dapat membantu meletakkan tanda yang betul terhadap setiap penyelesaian masalah yang melibatkan nombor negatif. 

3. OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini disempurnakan, adalah diharapkan pelajar yang telibat dapat mencapai tahap minimum yang ditetapkan dalam objektif yang dinyatakan. Penguasaan pelajar terhadap penggunaan nombor negatif akan dipertingkatkan. Keyakinan pelajar juga akan bertambah apabila menyelasaikan masaalah melibatkan penggunaan nombor negatif.

i) Objektif Am
Meningkatkan penguasaan pelajar dalam pendaraban nombor negatif menggunakan kaedah “Kawan – Baik” dan “Tak Kawan - Tak Baik”.

ii) Objektif Khusus
Secara khususnya kajian tindakan akan memberi manfaat kepada pelajar dan guru.
• Pelajar dapat menyatakan tanda negatif atau positif pada jawapan akhir.
• Pelajar dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan pendaraban nombor negatif dalam kertas 2 PMR.
• Guru dapat mempelbagaikan kaedah mengajar di dalam kelas.
• Menjawab sekurang-kurangnya 70% betul dalam Ujian Post yang dijalankan.
• Mengubah persepsi pelajar dari kelas lemah mengenai pengajaran dan pembelajaran matematik.

4. KUMPULAN SASARAN
Kajian ini akan melibatkan sebahagian daripada 34 orang pelajar Tingkatan 3 Biru yang keseluruhannya terdiri dari pelajar melayu. Pelajar tesebut akan disaring berdasarkan daripada temubual dan hasil pemerhatian yang dijalankan. Ini kerana terdapat pelajar yang yang teramat lemah dan tidak boleh membaca. Selepas saringan dilakukan, hanya 15 orang pelajar sahaja yang terpilih.

5. PELAKSANAAN KAJIAN

i. Tinjauan Masalah
Tinjauan terhadap masalah mengenalpasti kelemahan mereka. Langkah pembetulan hanya dilakukan berdasarkan tinjauan yang dijalankan terhadap mereka. Tinjauan dilakukan adalah berdasarkan kepada beberapa cara :-
a) Pemerhatian 
Saya telah membuat pemerhatian ke atas pelajar semasa peperiksaan akhir tahun 2006. Didapati pelajar tidak dapat memberikan jawapan yang tepat semasa peperiksaan. Pelajar juga didapati kurang berminat sewaktu P&P dijalankan didalam kelas. Tumpuan mereka terhadap P&P amat kurang. Temubual dijalankan terhadap pelajar mengenai masaalah yang mereka hadapi semasa menjawab soalan peperiksaan dan P&P mendapati mereka lebih berminat jika pelajaran itu berkaitan dengan kehidupan seharian mereka. (Lampiran A)
b) Ujian Pra
Ujian pra diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan sejauh mana kefahaman mereka dalam tajuk pendaraban nombor negatif. Ianya juga digunakan untuk mengesan tentang masaalah sebenar yang mereka hadapi dalam menjawab soalan berkaitan pendaraban nombor negatif. Disini masaalah sebenar mereka adalah apabila melibatkan pendaraban dua nombor negatif. (rujuk lampiran ujian pra)
c) Buku Latihan dan Nota
.Buku latihan dan nota pelajar dilihat untuk melihat kesungguhan pelajar terhadap mata pelajaran Matematik. Didapati pelajar tidak berminat untuk mempelajari Matematik. Disini guru memainkan peranan untuk menjadikan P&P lebih menarik.
ii. Program “Kawan-Baik Tak Kawan-Tak Baik”.
Kaedah perlaksanaan
a) Pengajaran dijalankan menggunakan kaedah “Kawan-Baik Tak Kawan-Tak Baik”.
b) Memadankan gambar yang serupa atau tanda yang sama bagi setiap gambarajah yang dipaparkan. Padanan yang serupa bermakna Kawan (positif). Terdapat juga gambarajah yang tidak mempunyai padanan, maka untuk itu bermakna Tak Kawan (negatif)
c) Pelajar juga akan diberikan contoh berkaitan dengan kehidupan seharian dan dalam konteks Pengajian Islam dan Moral.
d) Ujian post diberikan untuk menguji tahap kefahaman pelajar terhadap kaedah yang telah digunakan. 

6. RUMUSAN PEMERHATIAN DAN PENILAIAN
Selepas menggunakan kaedah padanan gambar dan mengaitkan dengan kehidupan seharian mereka, saya telah menjalankan penilaian terhadap pelajar melalui ujian pos. Ujian ini diberikan beberapa hari selepas P&P dijalankan. Ini bertujuan untuk menentukan samaada mereka masih memahami apa yang telah mereka pelajari mengenai pendaraban nombor negatif. Soalan yang diberikan adalah sama cuma kedudukan yang berubah. Struktur soalan ujian pra dan ujian pos tidak banyak berbeza.
Hasil ujian pra mendapati pelajar mempunyai masaalah dalam menentukan tanda yang sesuai apabila melibatkan pendaraban nombor negatif. 11 daripada 15 pelajar yang menjawab soalan melibatkan pendaraban dua nombor negatif melakukan kesilapan. Untuk soalan yang lain, yang hanya melibatkan satu nombor negatif, semua pelajar memberikan jawapan yang tepat.
Ujian pos yang dijalanlan terhadap pelajar memberikan keputusan yang agan memberangsangkan. Semua pelajar yang hadir sewaktu P&P djijalankan dapat menjawab kesemua soalan dengan tepat. Hanya seorang pelajar sahaja yang masih melakukan kesalahan yang sama. Pelajar ini sebenarnya tidak hadir semasa P&P dijalankan. 

7. CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Hasil daripada dapatan dan pemerhatian semasa menjalankan kajian tersebut, beberapa cadangan untuk kajian seterusnya adalah seperti berikut.
a) Sebelum kaedah ini dijalankan, pelajar mestilah dapat menguasai pendaraban antara dua nombor. Ini bertujuan untuk mengurangkan kesilapan pelajar dalam mendarab dua nombor.
b) Guru boleh mengguna pakai kaedah “Kawan – Baik” dan “Tak Kawan – Tak Baik” dalam pengajaran mereka dan membuat pengubahsuaian mengikut tahap kefahaman pelajar.
c) Soalan juga perlu dirangka mengikut tahap kesukaran yang sesuai untuk pelajar.

Contoh Analisa Swot

contoh Analisis SWOT

RPH

RPH Bahasa Melayu pendidikan khas (Micro teaching)Ini adalah contoh RPH untuk Pendidikan Masalah Pembelajaran.
View more documents from norlidahashim

Saturday, October 1, 2011

Sajak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Sajak dibawah saya terbaca dalam Himpunan Sajak Famili Azam Dot Com. Cukup menyentuh hati saya.Disebabkan Tugasan KPB 3033 saya terjumpa sajak ini. Bacalah untuk renungan bersama.


KORBAN IBU

IBU,
KAULAH BUNGA MENGUNTUM INDAH,
MENYERI MEKAR LAGI MEMERAH,
KU PUJIMU DENGAN BERBAGAI MADAH,
KERANA KU SANJUNG AKAN SIFATMU,

IBU,
BUMI INI BUMI YANG PAYAH,
MENGALIR TANGIS KALANYA DUKA,
NAMUN KAU MELANGKAH SERIBU KEKUATAN,
TEMPUHI KERIKIL BATU-BATUAN,

IBU,
TERANG BULAN DI MALAM HARI,
TERANG LAGI WAJAHMU YANG SUCI,
PENYEJUK JIWA DALAM KEDUKAAN,
PENAIK SEMANGAT DENGAN ALUNAN MELODIMU,

IBU,
KALA AKU BERSEORANG DIRI,
HANYA BERTEMAN PENA DAN KERTAS,
BERCERITA PADA JERITAN HATI,
MENATAP LANGIT SENDIRIAN DIRI,
KAU DATANG TANPA KU SURUH,
PENGHIBUR HATI YANG BAGAI NAK LURUH,
BIJAK PENDETA BERMAIN KATA,
BIJAK LAGI KAU MEMUJUKKU.

IBU,
ANDAI KATA AKU DAPAT BERNYANYI,
BURUNG MERAH TURUT MENDENDANGKAN BERSAMAKU,
KU DUDUK DI SAMPINGMU,
MENCARI SUMBER IBSPIRASI ILHAM,
KU RASAI KASIH SAYANG MU,
KU BANGGA KERANA DAPAT MEMANGGILMU,
DENGAN GELARAN BONDA.
 
Dikirim Oleh : Siti Umairah
E-mail Pengirim : umairahtray[at]rocketmail[dot]com
Dikirim Pada: Sabtu, 15 May 2010
Diterbitkan Pada: Isnin 05 Julai 2010

Monday, September 26, 2011

Assalamualaikum.

Alhamdulillah akhirnya saya berjaya membina blog saya sendiri.
 Dengan bantuan kawan-kawan serta asyik dok belek2 internet.
Kerana KRT 3013 matapelajaran PJJ UPSI yang mengkehendaki
 saya membina blog maka terbinalah blog ini. Semoga apa yang
 akan dipaparkan disini dapat memberi maklumat kepada anda semua. 
Cukup dulu setakat ini.